Budaya & Politik
Budaya & Politik
Profesor Emeritus Dato’ Isahak Haron<!-- @page { size: 8.5in 11in; margin: 0.79in } P { margin-bottom: 0.08in } --> KESAN PELAKSANAAN DASAR PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI) DI SEKOLAH RENDAH
Profesor Emeritus Dato’ Isahak Haron
Pengenalan
Kertas ini membentangkan ringkasan hasil kajian yang kami jalankan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim bagi mencari jawapan kepada soalan: Sejauh manakah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) meningkatkan pembelajaran dan prestasi pelajar? Tujuan ditumpukan terutama kepada pelajar Melayu dalam menguasai Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris di sekolah rendah dan menengah.
Kumpulan Penyelidik
Projek penyelidikan dikendalikan oleh pasukan berikut:
Profesor Emeritus Dato’ Isahak Haron (Ketua) Prof. Madya Dr. Abdul Latif Hj. Gapor Dr. Md Nasir Bin Masran Dr. Mariam Binti Mohamad Encik Abdul Halim Bin Ibrahim
Latar Belakang Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
Sebelum 2003, semua mata pelajaran di sekolah rendah dan menengah kebangsaan, kecuali Bahasa Inggeris, dan bahasa-bahasa ibunda seperti Mandarin, Tamil, Iban dan Kadazandusun, diajar dalam bahasa Melayu, iaitu Bahasa Kebangsaan Malaysia. Rata-rata guru mahir dan selesa mengajar semua mata pelajaran ini dalam Bahasa Kebangsaan, termasuklah Sains dan Matematik, dan pelajar pun selesa mempelajarinya. Ini adalah dasar pendidikan negara sejak merdeka, bertujuan bagi mendemokrasikan peluang pendidikan dan memupuk pembinaan identiti negara bangsa dan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Beberapa kajian menghuraikan kejayaan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan bahasa pengantar pendidikan sudah dilakukan, termasuklah mata pelajaran Sains dan Matematik oleh Hassan Ahmad (2005) dan Shaharir Mohamad Zain (2005).
Walau bagaimanapun masih terdapat kelemahan pelajar Melayu dalam sains, matematik dan bahasa Inggeris (Isahak Haron (2001). Hakikat ini diakui sendiri oleh Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada masa itu, dalam ucapannya semasa merasmikan Kongres Pendidikan Melayu 1, pada 1 September, 2001, di PWTC, Kuala Lumpur.
Tetapi apa yang memeranjatkan adalah, bagi mengatasi kelemahan ini, kerajaan pimpinan Dr. Mahathir Mohamad, pada Julai 2002, memutuskan bagi menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar mata pelajaran Sains dan Matematik bagi mengganti bahasa Melayu mulai 2003. Seperti yang dinyatakan oleh YB Dato’ Musa Muhamad, Menteri Pelajaran ketika itu, dalam kenyataan akhbarnya pada 20 Julai 2002, rasional dasar PPSMI ini diperkenalkan adalah Bagi menguatkan asas pelajar bagi memperoleh maklumat dan ilmu terutama dalam bidang Sains dan Matematik, yang dikatakan banyak terdapat dalam bahasa Inggeris; dan seterusnya menambah masa kontak dalam bahasa Inggeris; dan dengan kaedah tersebut makan dapatlah dipertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris para pelajar.
Ramai individu mengkritik dan mempersoalkan dasar baru ini. Dasar ini dibuat dengan mengejut berasaskan pemikiran yang simplistik dan tidak munasabah. Bagaimanakah pembelajaran Sains dan Matematik dapat dipertingkatkan dengan menggunakan bahasa Inggeris, bahasa kedua, penguasaannya lemah dalam kalangan ramai murid dan guru? Di samping itu selama lebih 40 tahun guru-guru dilatih dalam Bahasa Malaysia dan sudah pun mahir mengajar sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia, dan murid juga sudah lazim diajar dan mempelajarinya dalam Bahasa Malaysia. Proses pengajaran dan pembelajaran tentu menjadi sukar. Namun, Kerajaan menyatakan pengajaran berbantukan komputer dapat mengatasi masalah ini. Ini adalah suatu anggapan yang tidak realistik. Bagaimana pembelajaran dan pemikiran sains dan matematik, dan penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa akademik dapat dipertingkatkan dengan serta-merta secara dengan menggunakan komputer!
Pengkaji-pengkaji di luar negara seperti Cummins (1991) dan Saville-Troike (1991) menunjukkan bahawa murid sekolah rendah dapat belajar dan berfikir mengenai pelajaran akademik seperti Sains dan Matematik dengan lebih mudah dan cepat apabila mereka diajar dalam bahasa yang kerap digunakan oleh keluarganya, bukan melalui bahasa asing atau bahasa kedua. Murid-murid dapat memperolehi kemahiran kognitif ‘bahasa akademik’ dengan lebih mudah melalui bahasa ibunda. Kajian Skutnabb-Kangas dan Toukoma (1991) dalam kalangan murid-murid Finnish di Sweden sebagai contoh, menunjukkan bahawa murid-murid yang menggunakan bahasa ibunda lebih mudah dapat memperolehi kemahiran akademik dan pencapaian mereka menjadi lebih tinggi dibandingkan dengan murid-murid yang diajar dalam bahasa kedua. Banyak kajian lain juga menyokong dapatan ini.
Pendidikan rendah dalam bahasa ibunda adalah amat kritikal menjadi asas bagi mencapai tahap kematangan pemikiran akademik yang kemudiannya dapat dipindahkan kepada pendidikan dalam bahasa kedua. Ada pihak yang membangkitkan kes Singapura yang kelihatan berhasil dalam menggunakan bahasa Inggeris di sekolah? Kes Singapura ini tidak dapat disamakan dengan kes Malaysia. Singapura adalah sebuah negara kota yang penduduknya padat dalam sebuah pulau kecil dan penduduknya memang kebanyakannya sudah dwibahasa dalam urusan keluarga dan kehidupan harian. Bahasa Inggeris sudah menjadi bahasa ibunda bagi kebanyakan murid di Singapura.
Dalam konteks Malaysia, berdasarkan pemerhatian, kita sudah melihat pelajar yang kukuh penguasaan sains dan matematik melalui bahasa ibunda, iaitu bahasa Melayu untuk pelajar Melayu sehingga SPM, dengan mudah mempelajari sains dan matematik di peringkat tinggi dalam pelbagai bidang ilmu dalam bahasa Melayu sendiri ataupun dalam bahasa Inggeris, Jepun, Korea dan Jerman dapabila dihantar melanjutkan pelajaran ke negara yang menggunakan bahasa tersebut.
Dasar PPSMI dibuat dengan tergesa-gesa dan tidak berasaskan kajian dan pertimbangan teliti tentang implikasinya terhadap proses pengajaran guru dan pembelajaran murid, terutama murid Melayu. Walaupun dibantah dan dipersoal kebijaksanaannya, dasar ini terus dilaksanakan juga mulai 2003 bagi Tahun 1 di sekolah rendah, dan Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 rendah sekolah menengah, iaitu secara serentak di seluruh negara. Lima bilion ringgit dibelanjakan bagi membekalkan komputer dan CD kepada sekolah untuk guru menggunakannya. Guru yang dulunya terlatih dan sudah mahir mengajar sains dan matematik dalam Bahasa Malaysi, diberi latihan dua minggu bagi mempelajari dan memperkemas bahasa Inggeris mereka, supaya mereka dapat mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris! Buku teks dan buku latihan untuk murid Sekolah Kebangsaan semuanya diadakan dalam bahasa Inggeris sahaja.
Tetapi di Sekolah Jenis Kebangsaan China, atas desakan mereka, kerajaan membenarkan murid-murid sekolah ini diajar sains dan matematik terus dalam bahasa pengantar Mandarin dan buku teks dalam bahasa Mandarin dengan terjemahan dalam bahasa Inggeris. Mereka memberi alasan bahawa kajian menunjukkan bahasa ibunda adalah bahasa yang lebih mudah dan berkesan untuk murid mempelajari konsep dan kemahiran Sains dan Matematik, terutama pada peringkat awal.
Persoalan
Adakah dasar PPSMI ini berjaya meningkatkan pembelajaran dan prestasi pelajar dalam Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan setelah ia dilaksanakan sejak 2003? Kajian ini bertujuan untuk menjawab soalan ini.
Kaedah dan Sampel Kajian
Kajian ini menggunakan soal selidik dan ujian yang dibentuk oleh penyelidik dan guru. Soalan ujian Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris Tahun 5 telah diambil dan dipersesuaikan daripada Peperiksaan Akhir Tahun 4 Sekolah Kebangsaan. Soal selidik dan ujian ini diberi kepada murid sekolah rendah Tahun 5 dalam Februari 2007 dan Januari 2008. Ujian pelajar Tingkatan 2, pada Januari 2008, pula didasarkan kepada soalan-soalan Peperiksaan Akhir Tahun Tingkatan 1, 2007.
Soal selidik dan ujian ini diberi kepada pelajar sekolah di negeri Perak, Selangor, Kedah, Pahang, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan. . Sampel murid Tahun 5 dalam kajian ini dibuat dalam tiga masa dan tiga kohort sampel yang berlainan:
Tinjauan Februari 2007 kepada murid Tahun 5 (N=1564 di 27 buah sekolah rendah) Tinjauan Julai 2007 kepada murid Tahun 5 (N=636 di 13 buah sekolah rendah) Tinjauan dan ujian pada penghujung Januari 2008 kepada murid Tahun 5 (N=1703 di 28 buah sekolah rendah)
Untuk sekolah menengah sampelnya adalah pelajar Tingkatan 2:
Tinjauan dan ujian dibuat dalam bulan Januari 2008 (N = 2,824 di 26 buah sekolah).
Ringkasan Dapatan, Kesimpulan dan Syor
Di bawah adalah ringkasan dapatan, kesimpulan dan syor berdasar kajian kami (Isahak Haroh et al.). Pembaca boleh membaca Laporan Kajian kami yang lengkap bertajuk Kesan Dasar Pengajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris di Sekolah Rendan diterbitkan oleh Universiti Pendidikan sultan Idris, April 2008. Laporan tersebut menghuraikan analisis dapatan dan kesimpulan yang lebih terperinci.
Soalan 1: Sejauh manakah guru menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik?
Analisis data daripada kajian tiga sampel yang berlainan pelajar sekolah rendah dan menengah menunjukkan lebih 85% pelajar menyatakan guru mereka menggunakan campuran Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia bagi mengajarkan Sains dan Matematik. Daripada temu ramah dan pemerhatian kami dalam bilik darjah, sebahagian besar guru menggunakan campuran kedua-dua Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris kerana mereka ingin membantu murid yang sebilangan besarnya adalah lemah dalam bahasa Inggeris supaya mereka dapat memahami perkara yang diajarkan. Malah ada guru sendiri yang lemah dalam bahasa Inggeris dan tidak dapat menghuraikan konsep dan proses sains dan matematik dengan panjang lebar dalam Bahasa Inggeris.
Hanya kira-kira 10% saja guru yang menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya; dan 5% dilaporkan menggunakan Bahasa Malaysia sepenuhnya. Daripada pemerhatian kami, penggunaan CD dan komputer bagi mengajarkan Sains dan Matematik Sains dalam bahasa Inggeris kurang dilaksanakan di kebanyakan sekolah, kerana guru sukar menggunakannya dalam bilik darjah. Guru yang menggunakannya pun mendapati murid kurang berminat melihat ‘tayangan’ pelajaran sains dan matematik; tidak ada interaksi atau perbincangan yang aktif tentang pelajaran kerana penguasaan bahasa Inggeris mereka terhad. Pembelajaran menjadi pasif, lebih ke arah menghafal fakta daripada memahaminya dengan bermakna.
Kesimpulan: Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya; dan komputer sebagai alat pengajaran-pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tidak dapat digunakan dengan berkesan.
Soalan 2: Adakah pelajar ‘senang’ atau ‘sukar’ mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris?
Analisis respons Sampel murid Tahun 5, Februari 2007 dan Januari 2008, menunjukkan purata lebih 80% murid daripada semua kaum menyatakan ‘sukar dan agak sukar’ mempelajari Sains dalam Bahasa Inggeris, walaupun mereka sudah mempelajari kedua-dua mata pelajaran ini sejak 2003.
Dalam kalangan murid Melayu, 87% menyatakan ‘sukar dan agak sukar’ mempelajari Sains dalam Bahasa Inggeris. Mereka juga menyatakan ‘tidak faham dan kadang-kadang faham’ pengajaran guru Sains dalam Bahasa Inggeris.
Dalam pelajaran Matematik pula, 65% murid Melayu menyatakan ‘sukar dan agak sukar’ mempelajarinya dalam Bahasa Inggeris. Ini adalah lebih tinggi berbanding dengan peratusan murid Cina dan India.
Lebih daripada 75% murid Melayu Tahun 5 menyatakan bahawa mereka ‘kerap dan kadang-kadang’ merujuk buku Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu, jika mereka tidak faham penerangan dalam Bahasa Inggeris. Dan 35% menyatakan yang mereka memiliki sendiri buku rujukan Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu, sebagai buku bacaan dan rujukan tambahan.
Dalam kalangan pelajar Tingkatan 2 pula, lebih daripada 60% pelajar Melayu yang menyatakan mereka ‘sukar dan agak sukar’ mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Dapatan ini hampir sama dengan dapatan dari kajian Prof. Juriah Long (2005) dan Zainuddin Bikum (2004).
Secara bandingan, kedua-dua golongan pelajar rendah dan menengah ini lebih sukar mempelajari Sains dalam bahasa Inggeris berbanding dengan Matematik.
Ulasan: Tingginya peratusan pelajar, terutama pelajar Melayu, yang sukar memahami Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris adalah kerana mereka lemah dalam Bahasa Inggeris. Mereka sukar memahami dan memikirkan konsep-konsep Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Mereka lebih mudah memahami dan memikirkan konsep-konsep Sains dan Matematik yang teknikal dalam Bahasa Malaysia. Pengajaran guru dalam Bahasa Malaysia adalah lebih jelas dan mudah difahami oleh kebanyakan murid. Kebanyakan guru sendiri agak lemah dalam bahasa Inggeris dan lebih mudah dan ‘selesa’ menerangkan dan berbincang mengenai konsep-konsep Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia.
Soalan 3: Adakah mempelajari Matematik dalam Bahasa Inggeris meningkatkan pembelajaran dan prestasi Matematik pelajar?
Dapatan dan kesimpulan:
Dalam ujian Matematik yang diberi kepada sampel murid Tahun 5, Januari 2008, min keseluruhan sampel adalah 7.89 daripada skor maksimum 20.0. Ini menunjukkan prestasi am Matematik murid-murid Tahun 5 ini adalah rendah.
Min skor murid Melayu (7.66) adalah lebih rendah daripada min skor murid Cina (13.03) dan India (8.21).
Rata-rata untuk hampir setiap soalan Ujian Matematik, terutama yang melibatkan ‘pernyataan masalah’, hanya 30% murid semua keturunan yang dapat menjawabnya. Peratus murid Melayu yang dapat menjawab soalan demikian adalah lebih rendah daripada murid Cina dan India. Prestasi murid Melayu dalam ujian Matematik adalah lebih rendah berbanding dengan murid Cina dan India secara konsisten bagi sampel Februari 2007 dan sampel Januari 2008.
Jadual di bawah adalah contoh beberapa soalan Ujian Matematik dan peratus murid yang dapat menjawabnya.
Jadual di atas menunjukkan murid daripada semua keturunan adalah lemah dalam menjawab soalan yang memerlukan mereka membaca dan memahami ‘masalah’ dalam bahasa Inggeris (soalan 1 dan 4). Peratus murid Melayu dan murid Orang Asli yang tidak dapat menjawab soalan demikian adalah lebih tinggi berbanding dengan murid Cina dan India. Ini adalah disebabkan oleh kelemahan mereka dalam bahasa Inggeris.
Dapatan kami menunjukkan min (purata) murid Melayu Tahun 5 yang ‘selalu faham’ pengajaran guru Matematik adalah tinggi (iaitu 9.74) berbanding dengan murid yang ‘tidak faham’ (min=6.25). Walau bagaimanapun untuk setiap soalan Ujian Matematik, murid Melayu yang menyatakan ‘senang’ mempelajari Matematik dalam Bahasa Inggeris itupun memperlihatkan prestasi mereka tidaklah tinggi. Peratus yang dapat menjawab soalan-soalan dengan betul adalah di antara 24% – 44% saja.
Dapatan kajian kami juga menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang ketara dalam peratusan murid sekolah ‘luar bandar’, ‘pekan besar’ dan sekolah ‘bandar’ yang dapat menjawab dengan betul setiap soalan Ujian Matematik. Ini adalah kerana tingginya peratusan dalam sampel pelajar sekolah di bandar itu adalah pelajar daripada keluarga sosioekonomi rendah. Pelajar bandar daripada keluarga sosioekonomi rendah ini juga menghadapi masalah mempelajari Matematik dalam bahasa Inggeris, seperti pelajar daripada luar bandar.
Soalan 4: Adakah mempelajari Sains dalam Bahasa Inggeris meningkatkan pembelajaran dan prestasi Sains pelajar?
Dapatan dan kesimpulan:
Dalam ujian Sains yang diberi kepada sampel murid Tahun 5, Januari 2008, min skor sains keseluruhan sampel hanya 4.28 daripada maksimum 14.00. Ini menunjukkan prestasi am murid-murid semua keturunan dalam Sains adalah rendah. Min skor murid Melayu adalah lebih rendah iaitu 4.11 berbanding dengan min skor murid India iaitu 4.64, min skor murid murid Cina adalah 7.22.
Seramai 83% murid Tahun 5 daripada semua keturunan, iaitu sampel tinjauan Januari 2008, menyatakan mereka mendapati ’sukar dan kadang-kadang sukar’ mempelajari Sains dalam bahasa Inggeris.
Secara bandingan, adalah lebih tinggi peratusan murid Melayu berbanding murid Cina dan India yang menyatakan ‘sukar dan kadang-kadang sukar’.
Dapatan: Analisis Ujian Sains murid Tahun 5, sampel Februari, 2007, menunjukkan rata-rata rendah peratusannya, iaitu 6% - 40% murid Tahun 5 daripada semua keturunan yang dapat menjawab soalan-soalan Ujian Sains dengan betul.
Prestasi murid Melayu adalah lebih rendah berbanding dengan murid Cina dan India.
Prestasi murid Orang Asli adalah amat rendah, iaitu 0.0% - 3.7% saja yang dapat menjawab soalan-soalan Sains dengan betul. Untuk murid-murid daripada keturunan Orang Asli ini, pembelajaran Sains dalam bahasa Inggeris tidak bermakna sama sekali.
Contoh soalan ujian Sains dan peratus murid yang dapat menjawabnya:
Dalam sampel Tahun 5 (Januari 2008) dapatan Ujian Sains hampir sama. Rata-rata lebih 75% murid dari semua kaum tidak dapat menjawab soalan ujian Sains. Peratus murid Melayu yang dapat menjawab soalan ujian adalah lebih rendah sedikit dari murid Cina dan India. Dalam kedua-dua sampel, kelemahan ketara ialah dalam soalan-soalan di mana murid perlu memahami soalan jenis ‘berfikir’ dan menulis jawapan dalam bahasa Inggeris.
Dapatan kajian Tingkatan 1 dan 2 sekolah menengah
Dapatan kajian Zainudin Bikum di kalangan sampel murid Tingkatan 1 (2004) di dua buah sekolah menengah di Kuala Kubu Baru menunjukkan purata hanya 5% - 15% pelajar yang dapat menjawab soalan-soalan ujian Sains dalam Bahasa Inggeris. Ini kerana mereka ‘sukar/kadang-kadang sukar’ memahami pengajaran guru Sains dalam Bahasa Inggeris. Kajian Juriah Long (2005), sampel Tingkatan 2 di seluruh negara, pula menunjukkan purata skor Sains pelajar Melayu adalah lebih rendah daripada bukan Melayu; dan purata skor pelajar sekolah SMK lebih rendah dari Sekolah Menengah lain. Kajian kami (2008) mengguna data soal selidik dan ujian Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris Tingkatan 2 (N = 2,824 dari 25 buah sekolah menengah) menunjukkan pelajar lemah dalam ketiga-tiga mata pelajaran itu. Min skor Matematik 10.23 daripada skor maksimum 18; min skor pelajar Melayu 9.85. Min skor Sains lebih rendah iaitu 12.22 daripada skor maksimum 40.0; min skor pelajar Melayu 10.28. Min skor Bahasa Inggeris 13.84 daripada skor maksimum 22.0; min skor pelajar Melayu 13.94. Tinggi peratus (lebih 65.0%) pelajar Melayu tidak dapat menjawab soalan-soalan Matematik jenis ‘pernyataan masalah’ yang pelajar perlu memahaminya. Dan lebih 85% pelajar Melayu yang tidak dapat menjawab soalan-soalan Sains jenis ini.
Kesimpulan: Dapatan dari kedua-dua sampel murid Tahun 5 (sampel Februari, 2007, dan sampel Januari 2008) menunjukkan tinggi peratus (purata lebih 80%) yang mendapati ‘sukar/kadang-kadang sukar’ mempelajari Sains dalam Bahasa Inggeris; dan tidak dapat menjawab soalan ujian Sains. Lebih tinggi sedikit peratus (lebih 80%) murid Melayu yang gagal menjawab ujian Sains berbanding murid Cina dan India. Kelemahan ini ketara di kalangan murid Orang Asli. Dapatan analisis sampel pelajar Tingkatan 2 juga hampir serupa. Ini menunjukkan rata-rata pelajar di sekolah rendah dan menengah sukar memahami pengajaran Sains dalam bahasa Inggeris, dan dengan itu tidak dapat menjawab soalan Sains terutama yang berbentuk huraian. Lebih tinggi peratus pelajar sukar mempelajari sains berbanding dengan matematik kerana sains lebih banyak mengguna bahasa untuk memahami konsep dan keterangan tentang proses sains.
Soalan: Adakah pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris membantu meningkatkan pembelajaran dan prestasi pelajar dalam Bahasa Inggeris?
Dalam ujian Bahasa Inggeris sampel murid Tahun 5, Januari 2008, dapatan min skor Bahasa Inggeris keseluruhan sampel hanya 11.97 daripada skor maksimum 31.0 menunjukkan prestasi Bahasa Inggeris murid Tahun 5 dari semua keturunan amat rendah. Kelemahan ini lebih nyata di kalangan murid Melayu. Dapatan menunjukkan min skor murid Melayu hanya 11.87, lebih rendah dari min skor murid Cina 21.77 dan India 16.14. Seramai 73.7% murid Tahun 5 dari semua kaum menyatakan ‘sukar/kurang senang’ mempelajari Bahasa Inggeris. Di kalangan murid Melayu 81.4% menyatakan ‘sukar/kurang senang’. Lebih 75% murid Melayu yang ‘tidak faham/‘kadang-kadang faham’ pengajaran guru Bahasa Inggeris. Di kalangan murid Melayu yang menyatakan ‘faham pengajaran guru’ dan ‘senang mempelajari Bahasa Inggeris’ kebolehan mereka menjawab soalan-soalan ujian Bahasa Inggeris adalah rendah dan sederhana saja antara iaitu 22% - 65% (purata 45%) saja. Ini menunjukkan pelajar yang menyatakan ‘senang’ mempelajari Bahasa Inggeris pun tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Peratus murid dari semua kaum yang dapat menjawab soalan-soalan Ujian Bahasa Inggeris adalah rendah (contoh di bawah): peratus murid Melayu lebih rendah sedikit berbanding dengan murid Cina dan India.
Contoh soalan-soalan Ujian Bahasa Inggeris dan peratus murid Tahun 5 yang dapat menjawabnya (sampel Januari, 2008).
Kesimpulan: Dasar PPSMI gagal untuk meningkatkan pembelajaran dan prestasi pelajar dalam Bahasa Inggeris. Kesan positifnya, kalau ada pun, adalah kecil dan tidak signifikan.
Beberapa kesimpulan penting
Kesimpulan besar pertama: Dapatan di atas menunjukkan dasar penggunaan Bahasa Inggeris untuk meningkatkan kefahaman konsep, ilmu dan kemahiran Matematik dan Sains pelajar sekolah rendah dan menengah (seperti yang diharapkan dalam siaran akhbar YB Menteri Pelajaran Julai 2002) tidak tercapai; bahkan kesannya adalah negatif.
Ini ialah kerana kebanyakan pelajar, terutama pelajar Melayu/Bumiputera, lemah Bahasa Inggeris. Kebanyakan guru juga lemah dalam bahasa Inggeris untuk menerangkan dengan jelas dan selesa konsep, ilmu dan kemahiran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Kedua-dua faktor ini berganda akibatnya, menyebabkan murid sukar dan lemah dalam matematik dan sains. Mereka juga sukar memahami kandungan buku teks dalam bahasa Inggeris. Kesannya adalah seperti yang ditunjuk dalam hasil ujian Matematik dan Sains pada Tahun 5 sekolah rendah, dan di Tingkatan 1 dan 2 di sekolah menengah.
Kepayahan mempelajari sains dalam bahasa Inggeris lebih tinggi berbanding dengan matematik. Ini ialah kerana sains memerlukan lebih banyak ‘penggunaan bahasa’ dalam huraian dan perbincangan tentang konsep, prosedur dan dapatan sains berbanding dengan matematik.
Dasar PPSMI ini mempunyai kesan negatif kepada lebih 75% pelajar Melayu/Bumiputera di luar bandar dan di kalangan pelajar dari latar belakang sosio-ekonomi rendah di bandar. Dasar ini menguntungkan peratus kecil pelajar dari keluarga kelas menengah atas yang kerap mengguna bahasa Inggeris di rumah; dasar ini menambah jurang ketinggalan pembelajaran dan prestasi pelajar di luar bandar dan pelajar dari keluarga sosio-ekonomi rendah dalam matematik, sains dan bahasa Inggeris. Mereka juga tertinggal jika dibandingkan dengan pelajar Cina.
Kelemahan murid, terutama murid Melayu/Bumiputera dalam matematik, sains dan bahasa Inggeris di peringkat rendah ini membawa secara kumulatif ke peringkat sekolah menengah dan seterusnya ke peringkat lebih tinggi. Jika dibuat unjuran penawaran (supply) bilangan pelajar matematik dan sains yang mempunyai kecekapan minimum untuk meneruskan ke peringkat pengajian tinggi dalam bidang-bidang sains dan teknologi, perubatan, perakaunan dan perniagaan, bilangannya akan menurun dalam masa terdekat ini. Atau IPT terpaksa menyediakan kursus-kursus ‘persediaan’ dan ‘pemulihan’ dalam matematik dan sains kepada pelajar lulusan sekolah menengah yang lemah ini bagi menentukan asas pelajaran mereka mencukupi untuk mengikuti program-program pengajian di IPT. Kosnya tinggi sekali.
Seperti yang disebut pada awal artikel ini, kajian-kajian di luar negara oleh misalnya oleh Cummins dan Saville-Troike dan kajian di Finland dan Sweden menunjukkan bahawa asas yang kukuh dalam matematik dan sains lebih berkesan diajar dalam bahasa ibunda pelajar semasa mereka di sekolah rendah dan menengah. Fenomena yang sama berlaku di kebanyakan negara lain: Perancis, Jerman, Jepun, Korea, Cina, Rusia dan sebagainya. Setelah pelajar menguasai asas yang kukuh dalam matematik dan sains di sekolah rendah dan menengah, dengan mudah mereka melanjutkan pengajian di peringkat tinggi dalam berbagai-bagai bidang sains dan teknologi, mengguna bahasa apa pun.
Kesimpulan besar kedua: Impak positif pengajaran sains dan matematik (PPSMI) untuk meningkatkan pembelajaran dan prestasi bahasa Inggeris pelajar (seperti yang diharapkan oleh YB Menteri Pelajaran dalam siaran akhbarnya Julai 2002) adalah sedikit saja. Walaupun lebih banyak masa murid terdedah dengan penggunaan bahasa Inggeris melalui pelajaran matematik dan sains, kesan positif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah kecil.
Masih tinggi peratus murid Tahun 5 (purata lebih 70%) menyatakan mereka ‘sukar/kurang senang’ mempelajari bahasa Inggeris, dan mereka ‘kurang faham’ pengajaran guru. Ujian Bahasa Inggeris menunjukkan purata lebih 70% pelajar tidak lulus dan tidak mencapai penguasaan yang mencukupi. Mereka tidak dapat menjawab soalan-soalan Ujian Bahasa Inggeris Tahun 4 (yang diuji semula dalam Tahun 5, sampel Februari 2007 dan Januari 2008). Hal yang sama terdapat di kalangan pelajar Tingkatan 2.
Ertinya penggunaan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik sebagai alat untuk meningkatkan penguasaan murid dalam Bahasa Inggeris tidak berkesan.
Kesimpulan: Dasar penggunaan bahasa Inggeris untuk mengajar matematik dan sains (PPSMI) telah gagal untuk meningkatkan pembelajaran dan prestasi matematik dan sains pelajar, terutama pelajar Melayu/Bumiputera; dan tidak berjaya untuk meningkatkan pembelajaran dan prestasi bahasa Inggeris pelajar. Kualiti pendidikan yang diterima pelajar kita bertambah rendah. Kesan kumulatif ialah sebahagian besar (lebih 70%) pelajar Melayu tidak menguasai secukupnya konsep, ilmu dan kemahiran matematik, sains dan bahasa Inggeris.
Syor Syor Pertama Berdasarkan dapatan-dapatan negatif di atas, kerajaan hendaklah mengkaji semula dasar penggunaan bahasa pengantar Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah; dan hendaklah kembali semula mengguna Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains di peringkat rendah dan menengah.
Bahasa Inggeris bukan bahasa pengantar yang mudah dan berkesan untuk meningkatkan pembelajaran dan prestasi matematik dan sains bagi kebanyakan pelajar di Malaysia. Guru matematik dan sains telah pun menguasai bahasa Malaysia secukupnya untuk mengajar konsep dan kemahiran matematik dan sains dalam bahasa Malaysia. Pelajar juga rata-rata mahir dalam bahasa Malaysia untuk belajar sains dan matematik dalam bahasa Malaysia, berbanding dengan bahasa Inggeris.
Asas matematik dan sains pelajar akan lebih kukuh melalui pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Malaysia di peringkat rendah dan menengah. Dengan asas yang kukuh, mereka lebih mudah mempelajari matematik, sains dan teknologi di peringkat tinggi dalam bahasa Malaysia atau dalam bahasa Inggeris, Jepun, Korea, Jerman dan sebagainya, seperti yang berlaku sebelum ini.
Syor kedua Kerajaan hendaklah memperuntukkan masa/waktu yang lebih bagi pengajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di peringkat rendah dan menengah. Bahan pengajaran dan pembelajaran dan kaedah pengajaran Bahasa Inggeris alternatif yang lebih berkesan harus diguna.
Universiti dan institut pendidikan guru (IPG), guru-guru pakar Bahasa Inggeris di sekolah harus diberi peruntukan dan galakan secukupnya untuk menggubal bahan dan kaedah alternatif pengajaran-pembelajaran Bahasa Inggeris berdasarkan keperluan murid dan konteks. Setengah daripada pendekatan alternatif ini sudah ada. Bahan dan kaedah alternatif ini perlu mengambil kira tahap kesediaan dan gaya pembelajaran murid dari berlainan latar belakang dan budaya. Misalnya bahan dan kaedah pengajaran Bahasa Inggeris bagi pelajar Melayu di sekolah luar bandar perlu berbeza dari bahan dan kaedah untuk mengajar murid di bandar dari keluarga profesional yang sudah terdedah dengan Bahasa Inggeris. Pengajaran-pembelajaran bahasa Inggeris boleh dibuat secara modul pelbagai aras. Pendekatan satu program sama untuk semua (one size fits all) tidak berkesan, dan telah gagal untuk meningkatkan pembelajaran dan prestasi sebahagian besar pelajar di sekolah kita. Guru dan murid tidak seharusnya dikongkong oleh satu sukatan pelajaran, buku teks dan pendekatan yang sama (standardized) untuk semua murid di seluruh negara!
Dalam pengajaran Bahasa Inggeris unsur-unsur sains, matematik, sejarah, geografi dan sastera boleh dimasukkan sebagai bahan (content) pengajaran-pembelajaran. Dengan itu pelajar belajar serentak kemahiran berbahasa Inggeris dan ‘kandungan ilmu’ untuk memperkembangkan perbendaharaan kata dan penggunaan bahasa Inggeris dalam konteks pelbagai disiplin. Pengajaran bahasa Inggeris lebih berkesan diajar oleh guru yang mahir dan terlatih dalam bahasa Inggeris, bukan oleh guru matematik dan sains.
Penguasaan bahasa Inggeris yang kukuh di peringkat rendah dan menengah adalah asas untuk pembelajaran dan perluasan ilmu dalam semua bidang, termasuk dalam sains dan matematik seterusnya.
Penutup
Pembuat dasar hendaklah jelas bahawa polisi atau pendekatan untuk meningkatkan penguasaan ilmu Sains dan Matematik di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah adalah berbeza dari polisi dan pendekatan untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris. Ini dua dasar yang berlainan dan perlu digubal pendekatannya dengan cara yang berlainan.
1. Dasar kerajaan hendaklah bertujuan untuk meningkatkan penguasaan matematik dan sains pelajar kita di peringkat rendah dan menengah, sehingga SPM. Ini sudah pun berjaya dilaksanakan melalui Bahasa Malaysia, kerana guru dan pelajar telah menguasai Bahasa Malaysia. Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar matematik dan sains telah gagal untuk memudah dan meningkatkan pembelajaran matematik dan sains pelajar.
Dengan itu kerajaan hendaklah kembalikan kepada dasar pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Malaysia, supaya bilangan pelajar yang menguasai sains dan matematik meningkat. Pelajar yang kukuh dalam kedua-dua mata pelajaran ini akan dapat meneruskan pelajaran tinggi mereka dalam berbagai bidang sains dan teknologi di dalam atau di luar negara, sama ada di UK, USA, Jepun, Jerman, Perancis, Rusia atau Korea, seperti yang berlaku sebelum ini. Mereka ini hanya perlu belajar bahasa kedua/asing.
2. Dasar kerajaan hendaklah untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris kepada semua pelajar terutama dalam 2R (membaca dan menulis), ke peringkat di mana mereka dapat membaca buku dan bahan dalam internet dalam bahasa Inggeris dan menulis laporan dengan baik dalam bahasa Inggeris. Untuk mencapai matlamat ini, program pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris yang ada sekarang perlu dikaji semula dan diperbaiki. Dasar atau pendekatan satu program sama untuk semua (one size fits all) tidak lagi berkesan. Pendekatan ‘rigid’ sekarang iaitu satu katan pelajaran, buku teks dan pendekatan ‘communicative English’ yang sama untuk semua murid tidak lagi sesuai. Pendekatan ini telah gagal untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris murid pelbagai latar belakang, terutama di luar bandar dan dari keluarga sosio-ekonomi rendah.
Program dan pendekatan alternatif berdasarkan tahap kesediaan murid perlu diperkenalkan. Peruntukan kewangan mencukupi perlu disediakan. Bahan dan kaedah pengajaran bahasa Inggeris hendaklah lebih fleksibel berdasarkan analisis keperluan dan kesediaan murid dari pelbagai latar belakang. Pelbagai program atau modul pengajaran-pembelajarannya digubah mengikut kesediaan dan keperluan mereka; dan kemajuan mereka dipantau untuk membantu mereka maju dari satu tahap ke satu tahap. Murid perlu diberi masa dan latihan secukupnya dalam membaca dan menulis berbagai jenis bahan, termasuk cerita dan puisi dalam Bahasa Inggeris. Unsur-unsur matematik dan sains boleh dimasuk ke dalam pelajaran bahasa Inggeris.
Matematik dan Sains sebagai mata pelajaran bukan alat yang berkesan untuk meningkatkan penguasaan berbahasa Inggeris pelajar.
Dasar besar negara adalah untuk menyatukan pelbagai kaum di negara kita, dan membentuk identiti bangsa Malaysia di kalangan rakyatnya. Sepanjang 50 tahun yang lalu dasar Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar semua mata pelajaran, termasuk Matematik dan Sains di sekolah, telah berjaya. Rakyat telah menerima dan mengguna Bahasa Kebangsaan secara meluas dalam pendidikan dan seharian, dan rasa selesa dengannya. Asas sosial negara kita menjadi kukuh kerana Bahasa Malaysia sudah diguna secara meluas oleh semua rakyat. Ini jangan kita ambil mudah (take for granted). Jurang kualiti hidup rakyat Malaysia akan bertambah luas dari segi sosio-ekonomi, kaum dan lokasi di masa depan jika dasar PPSMI diteruskan. Kestabilan dan kemajuan negara akan terancam akibatnya. Dan seperti kata pepatah Melayu “Yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran”.
KAJIAN KESAN PENGAJARAN MATEMATIK DAN SAINS DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI) TERHADAP PELAJAR TINGKATAN 2 (FEBRUARI, 2008)
Sampel kajian
Sampel kajian Tingkatan 2 (N=2,824 orang) ini diambil daripada 25 buah sekolah menengah di negeri Perak, Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Kuala Lumpur. Pecahan sampel ini adalah sebagai berikut:
Mengikut keturunan
Jadual 1: Senarai Sampel Mengikut Keturunan
Mengikut jantina
Jadual 2: Senarai Sampel Mengikut Lokasi Sekolah
Senarai sekolah menengah yang terlibat ialah seperti dalam jadual 3 di bawah.
Jadual 3: Senarai Sekolah Menengah
Ujian
Ujian Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris yang diguna dalam kajian ini diambil daripada kertas Peperiksaan akhir Tahun Tingkatan 1 sekolah menengah. Soalan-soalan ini dipilih untuk mengwakili darjah kesukaran dan domain yang terdapat dalam mata pelajaran itu.
DAPATAN TINGKATAN 2
Sejauh manakah pelajar Tingkatan 2 mendapati pembelajaran beberapa mata pelajaran berikut ‘senang’?
Jadual 4 di bawah menunjukkan pertaus pelajar yang menyatakan senang bagi setiap mata pelajaran yang disenaraikan.
Secara keseluruhan 71.8% pelajar Tingkatan 2 mendapati Bahasa Melayu ‘senang’ dipelajari berbanding hanya 33.3% yang menyatakan bahasa Inggeris ‘senang’ dipelajari. Seramai 28% menyatakan Sains senang dan 48% menyatakan Matematik ‘senang’. Secara bandingan lebih rendah peratus pelajar Melayu yang menyatakan Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris itu ‘senang’ berbanding dengan pelajar Cina dan India. Lebih peratus pelajar Melayu (90.0%) menyatakan Bahasa Melayu itu senang berbanding dengan pelajar Cina (36.5%) dan India (72.8%). Pelajar dari ketiga-tiga kaum mendapati Sains dan Bahasa Inggeris lebih sukar berbanding dengan mata pelajaran lain.
Jadual 4: Taburan bilangan dan peratusan pelajar yang menyatakan mata pelajaran berikut ‘senang’ dipelajari mengikut keturunan
Sejauh manakah pelajar Tingkatan 2 mendapati mata pelajaran matematik sukar kerana diajar dalam Bahasa Inggeris?
Jadual 5: Taburan bilangan dan peratusan pelajar yang menyatakan ‘kesukaran’ Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris, mengikut keturunan
Jadual 5 di atas menunjukkan bahawa secara keseluruhannya hanya 15.8% pelajar Tingkatan 2 yang menyatakan pelajaran matematik dalam bahasa Inggeris ‘tidak sukar’. 41.5% menyatakan ‘sukar’
Sejauh manakah pelajar Tingkatan 2 mendapati mata pelajaran sains sukar kerana diajar dalam Bahasa Inggeris?
Jadual 6: Taburan bilangan dan peratusan pelajar yang menyatakan ‘kesukaran’ Sains diajar dalam Bahasa Inggeris, mengikut keturunan
Jadual 6 di atas menunjukkan bahawa secara keseluruhannya hanya 13.1% pelajar Tingkatan 2 yang menyatakan pelajaran matematik dalam bahasa Inggeris ‘tidak sukar’; dan 48.7% menyatakan ‘sukar’ Lebih tinggi peratus pelajar Melayu yang ‘sukar’ belajar sains dalam bahasa Inggeris berbanding dengan pelajar Cina dan India.
Bedasarkan analisis dalam Jadual 5 dan 6, lebih tinggi peratus pelajar Tingkatan 2 yang sukar mempelajari sains dalam bahasa Inggeris, berbanding dengan pelajaran matematik.
Soalan: Sejauhmanakah pelajar Tingkatan 2 dapat menjawab soalan ujian matematik?
Item-item ujian Matematik yang diberi kepada pelajar Tingkatan 2 dalam bulan Februari, 2008 dipilih daripada item yang terdapat dalam Peperiksaan Akhir Matematik Tingkatan 1 2007 sekolah menengah.
Jadual 7 di atas menunjukkan min skor matematik keseluruhan sampel rendah, iaitu hanya 10.23 daripada skor maksimum 18.0. Analisis perbandingan min skor matematik di antara pelajar berlainan keturunan menunjukkan min skor pelajar Cina lebih tinggi dari min skor pelajar Melayu dan India. Corak dapatan bagini telah juga diperolehi dari kajian PPSMI Tahun 5 sekolah rendah (Bab 4) yang lalu dan beberapa kajian lain (Isahak 2001). Asas matematik pelajar Cina di SRJK Cina adalah lebih baik dari asas matematik dari murid dari sekolah kebangsaan, terutama murid Melayu.
Jadual 8 di bawah menunjukkan dapatan analisis peratus yang dapat menjawab beberapa item matematik, mengikut keturunan.
Jadual 8: Keputusan Ujian Matematik (menjawab tepat) bagi Tingkatan 2
Dalam v88 hanya 50.5% dari seluruh sampel pelajar yang dapat menjawabnya. Dan hanya 46.2% pelajar Melayu yang dapat menjawabnya berbanding dengan 64.2% pelajar Cina.
Bagi soalan v90 dan v92, iaitu soalan operasi bahagi yang memerlukan pelajar membaca soalan itu dalam Bahasa Inggeris, peratus yang dapat menjawabnya menurun (pelajar Melayu 36.1%, 33.7%) dan pelajar Cina tinggi sedikit (45.2% dan 51.6%). Tidak ada perbezaan ketara di antara prestasi pelajar Melayu dengan pelajar India.
Soalan v94 dalam Bahasa Melayu (sungguh pun agak mudah sedikit) sebanyak 78.5% pelajar dapat menjawabnya dengan betul: 80.2% pelajar Melayu dapat menjawabnya, dan hampir sama dengan pelajar Cina (79.6% dapat menjawabnya.
Apa yang boleh disimpulkan dari dapatan ini ialah lebih tinggi pelajar peratus dapat menjawab item matematik tulen (soalan v88), berbanding dengan soalan v90 dan v92 yang memerlukan mereka membaca dan memaham soalan dalam bahasa Inggeris. Lebih tinggi peratus pelajar yang dapat menjawab soalan dalam bahasa Malaysia.
Jadual 9: Keputusan Ujian Matematik (menjawab tepat) bagi pelajar Melayu Tingkatan 2
Analisis juga dibuat di kalangan sampel pelajar Melayu untuk melihat sejauh manakah lokasi sekolah mempunyai hubungan dengan prestasi pelajar dalam beberapa item di dalam Jadual 9. Dapatan menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan yang kosisten dan jelas dalam keempat-empat item itu, di antara pelajar di sekolah menengah di ‘bandar’, di ‘pekan besar’ dan ‘di luar bandar’. Bagi item v88, v90 dan v92 hanya 33.7% - 46.2% dalam sampel yang dapat menjawab item-item itu. 80.2% dapat menjawab item v94 dalam bahasa Melayu.
Jadual 10: Keputusan Ujian Matematik (menjawab tepat) bagi pelajar Melayu Tingkatan 2 berdasarkan kejelasan pengajaran guru Matematik
Jadual 10 menunjuk analisis di kalangan sampel pelajar Melayu untuk melihat hubungan di antara persepsi pelajar tentang ‘kejelasan’ pengajaran guru matematik dengan prestasi mereka menjawab setiap item di atas. Dapatan menunjukkan yang menyatakan pengajaran guru matematik mereka ‘jelas’ lebih tinggi peratusnya yang dapat menjawab setiap item ujian matematik di atas berbanding pelajar yang ‘tidak/kadang-kadang’ jelas. Terdapat perbezaan peratus yang kosisten dan nyata dalam keempat-empat item (v88, v90, v92 dan v94) di antara pelajar yang menyatakan ‘jelas’ pengajaran guru dengan mereka yang ‘kadang-kadang’ dan ‘tidak/kurang jelas’. Walau bagaimanapun, hanya 33.7% – 46.2% pelajar yang menyatakan ‘jelas’ pengajaran guru yang dapat menjawab item v88, v90 dan v92. Peratusnya masih rendah. Ertinya pelajar yang menyatakan ‘jelas’ pun nampaknya lemah dalam kefahaman matematik mereka dalam bahasa Inggeris.
Jadual 11 di atas menunjukkan terdapat perbezaan min skor matematik yang signifikan di antara kumpulan pelajar dalam setiap variabel bebas di atas. Terdapat hubungan yang signifikan antara persepsi kejelasan pengajaran guru dengan prestasi pelajar dalam ujian Tingkatan 2 Terdapat perbezaan skor min yang signifikan antara pelajar berlainan gred peperiksaan akhir tahun yang lalu (Tingkatan 1) dengan prestasi ujian matematik Tingkatan 2. Min prestasi pelajar yang mengambil tuisyen lebih tinggi sedikit berbanding pelajar yang tidak mengambil tuisyen dalam ujian Tingkatan 2.
Jadual 12 ialah analisis perbandingan min skor ujian matematik pelajar Tingkatan 2, kajian Prof. Juriah Long. Kajian ini juga menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan min skor matematik di antara beberapa varibel bebas dengan pencapaian matematik pelajar Tingkatan 2, dalam tahun 2005. Yang nyata ialah min skor prestasi pelajar Melayu lebih rendah dari pelajar bukan Melayu. Min skor matematik pelajar di SMK lebih rendah dari min skor pelajar Sekolah Menengah (yang dulunya sekolah menengah Inggeris). Ini menunjukkan kumpulan yang paling sukar mempelajari matematik ialah pelajar Melayu, pelajar di Menengah Kebangsaan, pelajar luar bandar dan pelajar yang datang dari keluarga sosio-ekonomi rendah.
Kesimpulan
Apa yang jelas ialah prestasi ujian matematik pelajar semua kaum Tingkatan 2 (2008) adalah rendah, terutama pelajar keturunan Melayu. Peratus pelajar yang menyatakan ‘sukar/agak sukar’ mempelajari matematik dalam bahasa Inggeris adalah tinggi (41.5% seperti yang kita lihat dalam Jadual 5 di atas). Kesukaran mempelajari matematik dalam bahasa Inggeris ini adalah di antara faktor yang menyebabkan mereka sukar mengikuti pengajaran guru mengajar matematik, dan dengan itu mereka tidak dapat menjawab ujian matematik dengan baik.
Sains Soalan: Sejauhmanakah pelajar Tingkatan 2 dapat menjawab soalan ujian sains?
Jadual 13 menunjukkan min skor sains seluruh sampel amat rendah, iaitu 12.22 dari skor maksimum 40.0. Min skor sains pelajar Melayu terendah (10.99) berbanding dengan min skor pelajar India (12.50) dan pelajar Cina (15.21).
Jadual 14 ialah analisis peratus pelajar Tingkatan 2 yang dapat menjawab beberapa contoh item dalam ujian Tingkatan 2. Ia menunjukkan bahawa rata-rata peratus yang dapat memberi jawapan betul dalam setiap item ujian Sains adalah agak rendah: 21.8% - 53.25%. Peratus pelajar Melayu yang dapat menjawab dengan betul setiap item lebih rendah berbanding dengan pelajar Cina dan India.
Jadual 14: Keputusan Ujian Sains (menjawab tepat) bagi Tingkatan 2
Adakah terdapat perbezaan peratus yang dapat menjawab betul item ujian sains di antara pelajar Melayu yang berpendapat pengajaran guru ’jelas’ dengan mereka yang berpendapat ’kurang jelas atau tidak jelas’?
Jadual 15 menunjukkan terdapat perbezaan peratus yang dapat menjawab setiap item ujian matematik Tingkatan 2 mengikut ’kejelasan’ guru. Pelajar yang ‘tidak/kurang jelas’ untuk mengikuti pengajaran sains guru amat rendah peratus (5.0% – 33%) yang dapat menjawab setiap item ujian sains, berbanding dengan pelajar yang menyatakan ’jelas’. Walau bagaimana pun pelajar yang menyatakan ‘jelas’ pun agak rendah peratus yang dapat menjawab item-item ujian itu (11.1% – 64.3%). Peratus ini membayangkan bahawa pelajar yang ‘jelas atau baik’ pun nampaknya tidaklah menunjukkan prestasi yang memuaskan.
Jadual 15: Keputusan Ujian Sains (menjawab tepat) bagi pelajar Melayu Tingkatan 2 berdasarkan kejelasan pengajaran guru Sains
Jadual 16 di atas menunjukkan terdapat perbezaan min skor sains yang signifikan di antara kumpulan pelajar dalam setiap variabel bebas. Min skor pelajar yang ‘sukar’ memahami pengajaran guru sains hanya 8.82 berbanding dengan min skor 14.57 yang ’selalu faham’, daripada skor maksimum 40.0. Ini menunjuk yang pelajar ‘baik’ juga tidak dapat belajar dan skor sains dengan baik. Terdapat perbezaan min yang signifikan antara pelajar berlainan gred peperiksaan akhir tahun yang lalu (Tingkatan 1) dengan prestasi ujian sains Tingkatan 2. Skor pelajar gred E hanya 7.22 daripada skor maksimum 40.0 Min prestasi sains pelajar yang mengambil tuisyen lebih tinggi sedikit berbanding pelajar yang tidak mengambil tuisyen dalam ujian sains Tingkatan 2.
Kajian Zainuddin Bikum (sampel Tingkatan 1 di dua buah sekolah menengah di Kuala Kubu Baru dalam 2004) menunjukkan sangat rendah peratus pelajar yang dapat Ujian Sains seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 17 di atas.
Jadual 18 ialah analisis perbandingan min pencapaian ujian sains pelajar Tingkatan 2, kajian Prof. Juriah Long. Kajian ini juga menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan min skor sains di antara beberapa varibel bebas dengan pencapaian matematik pelajar Tingkatan 2, dalam tahun 2005. Yang nyata ialah min prestasi pelajar Melayu lebih rendah dari pelajar bukan Melayu. Min skor sains pelajar di SMK lebih rendah dari min skor pelajar Sekolah Menengah (yang dulunya sekolah menengah Inggeris). Ini menunjukkan kumpulan yang paling sukar mempelajari sains ialah pelajar Melayu, pelajar di Menengah Kebangsaan, pelajar luar bandar, dan pelajar yang datang dari keluarga sosio-ekonomi rendah.
Kesimpulan
Apa yang jelas ialah prestasi ujian sains pelajar semua kaum Tingkatan 2 (2008) adalah rendah, terutama pelajar keturunan Melayu. Peratus pelajar yang menyatakan ‘sukar/agak sukar’ mempelajari sains dalam bahasa Inggeris adalah tinggi (48.7% seperti yang kita lihat dalam Jadual 6 di atas). Kesukaran mempelajari sains dalam bahasa Inggeris ini adalah di antara faktor yang menyebabkan mereka sukar mengikuti pengajaran guru mengajar sains, dan dengan itu mereka tidak dapat menjawab ujian sains.
Bahasa Inggeris Soalan: Sejauhmanakah pelajar Tingkatan 2 dapat menjawab soalan ujian sains?
Jadual 19 menunjukkan min skor sains seluruh sampel rendah, iaitu 13.84 dari skor maksimum 22.0. Tidak terdapat perbezaan yang nyata skor bahasa Inggeris di antara pelajar berlainan keturunan Melayu, Cina dan India.
Soalan: Sejauh manakah pelajar Tingkatan 2 dapat membaca dan memahami berita mudah dapat surat khabar Inggeris?
Ujian dan petikan berita mengenai ’flood’ di Klang ini (dari akhbar The Star, 2004) ini diambil dan dipersesuaikan daripada Peperiksaan Akhir Tahun Tingkatan 1 Bahasa Inggeris di sebuah sekolah menengah. Jadual 20 menunjukkan pertus pelajar yang dapat menjawab beberapa soalan kefahaman, pecahan mengikut keturunan.
Bagi seluruh sampel, soalan kefahaman yang ’direct’ dan jawapannya sepatah perkataan, iaitu soalan v62, 60.9% dapat menjawab; dan soalan v63, 66.0% dapat menjawab. Tetapi apabila pelajar perlu memikir sedikit, dan perlu menjawab dengan ayat yang lebih panjang (misalnya soalan ’What was the cause of the flood?’) hanya 26.8% boleh menjawab. Bagi soalan lain, kurang dari 50% dapat menjawabnya.
Jadual 20: Keputusan Ujian Bahasa Inggeris (menjawab tepat) bagi Tingkatan 2
Jadual 21 menunjukkan dapatan analisis peratus pelajar Melayu Tingkatan 2 yang bersekolah ’di bandar’, ’pekan besar dan ’di luar bandar’ yang dapat menjawab item-item ujian kefahaman Bahasa Inggeris. Rata-rata lebih tinggi sedikti peratus pelajar ’bandar’ dan ’pekan besar’ yang dapat menjawab dengan betul berbanding dengan pelajar ’di luar bandar’.
Jadual 21: Keputusan Ujian Bahasa Inggeris (menjawab tepat) bagi pelajar Melayu Tingkatan 2
Jadual 22 menunjukkan dapatan analisis peratus pelajar Melayu Tingkatan 2 yang menyatakan ‘jelas’ ‘kadang-kadang jelas’, dan ‘tidak jelas’ pengajaran guru bahasa Inggeris. Peratus dari kumpulan ‘jelas’ lebih tinggi sedikit dapat menjawab item ujian itu berbanding mereka yang ‘tidak jelas’. Tetapi pertus jawapan betul dari kumpulan ‘jelas itu tidaklah bagitu memuaskan (26.5% - 68.88%) bagi item-item (v62-v67) dalam ujian itu.
Jadual 22: Keputusan Ujian Bahasa Inggeris (menjawab tepat) bagi pelajar Melayu Tingkatan 2 berdasarkan kejelasan pengajaran guru Bahasa Inggeris
Jadual 23 di atas menunjukkan terdapat perbezaan min skor Ujian Bahasa Inggeris di antara kumpulan pelajar dalam setiap variabel bebas.
Min skor pelajar sekolah di luar bandar rendah sedikit dari min skor pelajar di pekan besar dan di bandar. Min skor pelajar yang ‘jelas’ pengajaran guru Bahasa Inggeris lebih tinggi sedikit (15.12) berbanding min skor pelajar ’tidak jelas’ (11.01). Terdapat hubungan yang signifikan di antara gred peperiksaan yang lalu dengan prestasi skor ujian Bahasa Inggeris Tingkatan 2. Min pelajar E hanya 9.57 berbanding min pelajar A 17.50. Min skor Bahasa Inggeris pelajar yang mengambil tuisyen lebih tinggi sedikit berbanding pelajar yang tidak mengambil tuisyen.
Kesimpulan tentang prestasi Bahasa Inggeris
Apa yang jelas ialah prestasi ujian Bahasa Inggeris pelajar semua kaum Tingkatan 2 (2008) adalah rendah. Tidak terdapat perbezaan skor min yang signifikan di antara pelajar mengikut keturunan. Peratus pelajar yang menyatakan ‘sukar/agak sukar’ mempelajari Bahasa Inggeris adalah tinggi (67.0%) seperti yang kita lihat dalam Jadual 4 di atas.
Pelajar Melayu, pelajar di luar bandar, pelajar yang tidak mengambil tuisyen bahasa Inggeris, dan yang lemah dalam peperiksaan yang lalu (Tingkatan 1), adalah lemah dalam dalam bahasa Inggeris.
Rata-rata pelajar Tingkatan 2 masih agak lemah untuk membaca dan memahami berita akhbar biasa dalam bahasa Inggeris. Seramai 73% pelajar tidak dapat menjawab soalan yang memerlukan mereka memikir sedikit dan menjawab dengan ayat yang lebih panjang, misalnya soalan ’What was the cause of the flood?’
Kesimpulan utama
1. Secara keseluruhannya hanya 15.8% pelajar Tingkatan 2 yang menyatakan pelajaran matematik dalam bahasa Inggeris ‘tidak sukar’; 84% menyatakan ‘kadang-kadang sukar/sukar’. Lebih tinggi peratus pelajar Melayu yang menyatakan ‘sukar’ berbanding dengan pelajar Cina dan India.
2. Jadual 5 dan 6 di atas menunjukkan bahawa secara keseluruhannya hanya 13.1% pelajar Tingkatan 2 yang menyatakan pelajaran matematik dalam bahasa Inggeris ‘tidak sukar’; dan 87.0% menyatakan ‘sukar’ Lebih tinggi peratus pelajar Melayu yang ‘sukar’ belajar sains dalam bahasa Inggeris berbanding dengan pelajar Cina dan India.
Pencapaian matematik
3. Apa yang jelas ialah prestasi ujian matematik pelajar semua kaum Tingkatan 2 (2008) adalah rendah, terutama pelajar keturunan Melayu. Peratus pelajar yang menyatakan ‘sukar/agak sukar’ mempelajari matematik dalam bahasa Inggeris adalah tinggi (84.0%) seperti yang kita lihat dalam Jadual 5. Kesukaran mempelajari matematik dalam bahasa Inggeris ini adalah di antara faktor yang menyebabkan mereka sukar mengikuti pengajaran guru mengajar matematik; dan dengan itu mereka tidak dapat menjawab ujian matematik dengan baik.
4. Dapatan juga menunjukkan terdapat perbezaan min skor matematik yang signifikan di antara kumpulan pelajar dalam setiap variabel bebas. Terdapat hubungan yang signifikan antara persepsi kejelasan pengajaran guru dengan prestasi pelajar dalam ujian Tingkatan 2 Terdapat perbezaan skor min yang signifikan antara pelajar berlainan gred peperiksaan akhir tahun yang lalu (Tingkatan 1) dengan prestasi ujian matematik Tingkatan 2. Min prestasi pelajar yang mengambil tuisyen lebih tinggi sedikit berbanding pelajar yang tidak mengambil tuisyen dalam ujian Tingkatan 2.
Pencapaian sains
5. Apa yang jelas ialah prestasi ujian sains pelajar semua kaum Tingkatan 2 (2008) adalah rendah, terutama pelajar keturunan Melayu. Peratus pelajar yang menyatakan ‘sukar/agak sukar’ mempelajari sains dalam bahasa Inggeris adalah tinggi (87.0%). Lebih tinggi sedikit peratus pelajar Melayu yang menyatakan sukar mempelajari sains dalam bahasa Inggeris berbanding dengan pelajar Cina dan India. Kesukaran mempelajari sains dalam bahasa Inggeris ini adalah di antara faktor utama yang menyebabkan mereka sukar mengikuti pengajaran guru mengajar sains, dan dengan itu mereka tidak dapat menjawab ujian sains.
6. Dapatan dalam Jadual 16 di atas, menunjukkan terdapat perbezaan min skor sains yang signifikan di antara kumpulan pelajar dalam setiap variabel bebas. Min skor pelajar yang ‘sukar’ memahami pengajaran guru sains hanya 8.82 berbanding dengan min skor 14.57 yang ’selalu faham’, daripada skor maksimum 40.0. Ini menunjuk yang pelajar ‘baik’ juga tidak dapat belajar dan skor sains dengan baik. Terdapat perbezaan min yang signifikan antara pelajar berlainan gred peperiksaan akhir tahun yang lalu (Tingkatan 1) dengan prestasi ujian sains Tingkatan 2. Skor pelajar gred E hanya 7.22 daripada skor maksimum 40.0 Min prestasi sains pelajar yang mengambil tuisyen lebih tinggi sedikit berbanding pelajar yang tidak mengambil tuisyen dalam ujian sains Tingkatan 2.
Prestasi Bahasa Inggeris
7. Hanya 33.3% pelajar Tingkatan 2 yang menyatakan Bahasa Inggeris ‘senang’ dipelajari. Ertinya 66.7% menyatakan ‘sukar atau agak sukar’ dipelajari.
8. Apa yang jelas ialah prestasi ujian Bahasa Inggeris pelajar semua kaum Tingkatan 2 (2008) adalah rendah. Tidak terdapat perbezaan skor min yang signifikan di antara pelajar mengikut keturunan. Peratus pelajar yang menyatakan ‘sukar/agak sukar’ mempelajari Bahasa Inggeris adalah tinggi (67.0%).
9. Pelajar Melayu, pelajar di luar bandar, pelajar yang tidak mengambil tuisyen bahasa Inggeris, adalah lemah dalam dalam bahasa Inggeris.
10. Rata-rata pelajar Tingkatan 2 masih agak lemah untuk membaca dan memahami berita akhbar biasa dalam bahasa Inggeris. Seramai 73% pelajar tidak dapat menjawab soalan yang memerlukan mereka memikir sedikit dan menjawab dengan ayat yang lebih panjang, misalnya soalan ’What was the cause of the flood?’
Kesimpulan besar
Kesan pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris menyukarkan pelajar mempelajari dua mata pelajaran ini. Prestasi mereka juga rendah dalam ujian-ujian matematik dan sains yang diberi. Kesan negatif ini lebih besar di kalangan pelajar Melayu.
Rata-rata penguasaan bahasa Inggeris pelajar juga rendah. Lebih 60% pelajar tidak dapat membaca dan memahami petikan berita akhbar biasa, yang diuji. Ini menunjukkan bahawa pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tidaklah membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar secara signifikan.
Rujukan
Cummins, J. (1991). Language development and academic learning (pp161-175), Dlm L.M. Maldive and G. Duqutte (Eds.). Language, culture, and cognition. England: Multilingual Matters.
Hassan Ahmad (2005) Memertabatkan Penggunaan Bahasa Melayu: Dasar, Pelaksanaan dan Pencapaian, kertas kerja Kongres Pendidikan Melayu ke-2, anjuran Persekutuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu (PBPPM), di Berjaya Times Square Hotel & Convention Centre, Kuala Lumpur, 26-27 Mac, 2005.
Isahak Haron, (2001). Prestasi Pelajar Melayu/Bumiputera di Peringkat Rendah (UPSR), Menengah (PMR, SPM dan STPM) dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), dalam Laporan Kongres Pendidikan Melayu, 1 - 2 September, 2001, di Pusat Dagangan Dunia Putera, Kuala Lumpur.
Juriah Long, (2005). Keberkesanan Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris Dalam Konteks Kepelbagaian Pelajar. Laporan kajian tajaan Dewan Bahasa dan Pustaka (tidak diterbitkan).
Kenyataan Akhbar Menteri Pendidikan (2002). Kenyataan Akhbar YB Tan Sri Musa Mohamad mengenai pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. 20 Julai 2002 (atas talian) http://www.moe.gov.my/keratanBI.asp (20 Julai 2002)
Mahathir Mohamad, Ucapan Perasmian Kongres Pendidikan Melayu, dalam Laporan Kongres Pendidikan Melayu 1, pada 1-2 September, 2001, di PWTC, Kuala Lumpur.
Nor Hashimah Jalaluddin, (2003). Penerimaan Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris di Kalangan Pelajar dan Guru, Projek Penyelidikan II/10/2003 Persatuan Linguistik Malaysia/ATMA, Bangi, UKM.
Saville – Troike, M. (1991). Teaching and Learning for academic achievement. Washington, DC:NCBE.
Shaharir Mohamad Zain (2005). Beberapa Akibat daripada Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di Malaysia: Suatu Penilaian Empiris dan Teori, kertas kerja Kongres Pendidikan Melayu ke-2, anjuran Persekutuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu (PBPPM), di Berjaya Times Square Hotel & Convention Centre, Kuala Lumpur, 26-27 Mac, 2005.
Zainuddin Bikum, (2006). Kesan Pengajaran Sains Tingkatan 1 dalam Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan Daerah Hulu Selangor, disertasi Sarjana Pendidikan UPSI
Write comment (0 Comments)
|
|||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
|||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
<< Mula < Sblm 1 2 3 Seterusnya > Tamat >>
JPAGE_CURRENT_OF_TOTAL



sibuk dengan kenduri perkahwinan sepupu anakda Akmal Anas, di rumah ayah dan ibunya di Padang Temusu, Seberang Perai. Ramai ahli keluarga dan sahabat handai datang bertamu. Kenduri ini seperti cara lama, makan nasi dan gulai kawah yang dimasak oleh orang kampung.
